Tuesday, July 27, 2010

LATAR BELAKANG SEKOLAH



Sekolah Agama Dato’ Abdul Rahman Yassin telah ditubuhkan pada 5 Februari 2001. Di awal penubuhannnya, murid-murid dan guru-guru di sekolah ini menumpang di Sekolah Kebangsaan Dato’ Abdul Rahman Yassin. Pada ketika itu sesi persekolahan hanya dibuka untuk sesi petang sahaja. Sekolah Agama Dato’ Abdul Rahman Yassin terus menumpang di sekolah tersebut sehinggalah bangunan siap dibina dan diserahkan kepada sekolah.

Sekolah ini ditubuhkan bertujuan untuk menampung bilangan murid yang semakin ramai berikutan pertambahan penduduk di kawasan sekolah dengan wujudnya taman-taman perumahan baru.

Tanggal 2 Januari 2004, merupakan tarikh keramat bagi Sekolah Agama Dato’ Abdul Rahman Yassin kerana tarikh itu merupakan penyerahan kunci kepada sekolah. Pada 5 Januari 2004 adalah merupakan tarikh bersejarah di mana semua pelajar dan guru yang sekian lama menumpang di Sekolah Kebangsaan Dato’ Abdul Rahman Yassin berpindah ke bangunan sekolah yang baru.

Sekolah ini mempunyai 4 tingkat yang menempatkan 10 buah bilik darjah, bilik TAJ, dewan, pejabat, bilik mesyuarat, pusat sumber, kantin, surau, bilik wudhuk. Aras dua menempatkan 3 bilik air , bilik darjah (Syukur), pusat sumber, bilik guru, bilik mesyuarat dan pejabat pentadbiran, Manakala aras tiga pula mempunyai 4 buah kelas (Tawakkal, Yakin, Sabar dan Ikhlas) dan sebuah pentas. Aras empat pula menempatkan 5 buah bilik darjag (Ehsan, Taqwa, Jujur, Amanah dan Redha) serta 3 bilik darjah.

Sekolah ini merupakan sekolah agama yang pertama di daerah Kluang yang mempunyai bilik khas untuk murid Tadika Agama Johor (TAJ). Bilik ini dilengkapi dengan tandas, dapur, pejabat, ruang makan, almari murid dan dua bilik darjah.

Di peringkat awal penubuhannya, hanya 257 orang murid dari tahun satu hingga tahun 5 yang mendaftar di sekolah ini. Pada Tahun 2002, murid semakin bertambah seramai 352 orang dan pada tahun 2003, seramai 509 orang murid yang belajar di sekolah ini. Sekaligus menjadikan sekolah ini dinaiktaraf dari Gred B kepada Gred A berikutan pertambahan murid. Pada tahun 2004, murid bertambah kepada 670 orang dan mempunyai 3 aliran sesi pagi dan 18 aliran sesi petang. Pada tahun 2008 pula, murid bertambah kepada 753 orang yang terdiri daripada murid TAJ seramai 18 orang, selebihnya adalah murid dari darjah 1 hingga 6 dan murid darjah khas.

Di awal penubuhannya, Ustaz Haji Alwee bin Mahadi selaku Guru Besar telah menerajui sekolah ini, dengan dibantu oleh 2 orang guru. Ustaz Ismail bin Mustari pula merupakan Guru Besar yang kedua dan diambil alih oleh Ustazah Hajah Rokiah binti Haji Yusof selaku Guru Besar sehingga 31hb Disember 2008. Beliau dibantu oleh 3 orang Guru Penolong Kanan iaitu GPK 1, HEM dan GPK KO-KURIKULUM dan 9 orang Guru Penolong serta seorang Guru Taj.

Pada 23 Mei 2008 bersamaan 17 Jamadil Awal 1429H (Jumaat) Sekolah Agama Dato’ Abdul Rahman Yassin sekali lagi telah menempa sejarah apabila sekolah ini telah dirasmikan oleh Yang Amat Mulia Tunku Abdul Majid Ibni Sultan Iskandar, Tunku Bendahara Johor. Sekolah juga telah diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Baginda Sultan Iskandar Sultan Johor untuk ditukarkan nama dari Sekolah Agama Dato’ Abdul Rahman Yassin kepada Sekolah Agama Dato’ Ahmad.

Pada tanggal 1hb Januari 2009, Ustazah Hajah Rokiah Binti Haji Yusof telah berpindah dan digantikan dengan Guru Besar yang baru iaitu Ustazah Hamidah Binti Haji Musa sehingga sekarang.

No comments:

Post a Comment